Saturday, January 18, 2020
updated 10:03 AM UTC, Jan 18, 2020

Lawatan rasmi YDP Agong disifatkan kunjungan sangat bermakna tingkat hubungan dengan UK

  • Published in Nasional

LONDON - Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan khas 9 hari baginda di United Kingdom.

Baginda dijangka berangkat pulang ke tanah air, esok menggunakan pesawat khas pada pukul 7 malam waktu tempatan.

Lawatan khas pertama Al-Sultan Abdullah ke United Kingdom disertai Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama putera dan puteri baginda.

Baginda menyifatkan lawatan ini sebagai kunjungan yang sangat bermakna dan diharap dapat terus meningkatkan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan United Kingdom.

Baginda berdua menerima layanan mesra Ratu Elizabeth II yang turut banyak bertanya tentang hal dan perkembangan semasa negara dalam satu Majlis Santapan Tengah Hari di Istana Buckhingham.

Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Akademi Tentera Diraja Sandhurst merupakan antara atucara yang ditunggu-tunggu dan menyaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berjaya menamatkan latihan kententeraannya.

Ianya mengembalikan nostalgia Al-Sultan Abdulllah yang pernah menamatkan latihan di situ 40 tahun yang lalu.

Terdahulu, Yang dipertuan agong dan raja permaisuri agong berkenan bertemu rakyat malaysia yang menetap di United Kingdom dalam satu Majlis Santapan Malam.

Sikap mesra tuanku berdua amat disanjungi rakyat malaysia yang hadir.

Sepanjang tempoh lawatan, pasangan diraja turut berkenan melawat ke beberapa tempat bersejarah di kota london termasuk Perpustakaan British dan bangunan Westminster Abbey.

Raja Permaisuri Agong turut melakukan lawatan ke beberapa lokasi lain antaranya Royal School Of Needlework dan Muzium British.