Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 3:10 PM UTC, Nov 20, 2017

Amiel Nak Bantu Kami Masuk Syurga - Ibu Mangsa

KUALA LUMPUR - "Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa budi ayah dan ibu, hanya ini saja yang Amiel mampu masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga Firdaus”.

Itu antara kandungan warkah terakhir mangsa yang maut dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Amiel Asraf Abdul Rasid, 11, kepada ibunya, Norhayati Khalid, 42.

Dalam surat itu, Amiel Asraf turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya yang membesarkannya dan memohon maaf jika beliau ada melakukan kesalahan terhadap mereka.

Norhayati dalam nada sedih menceritakan beliau menerima surat berkenaan ketika melawat anak bongsu daripada empat beradik itu di pusat tahfiz tersebut semalam selepas Amiel Asraf menghubunginya dan meminta beliau membawa nasi goreng pattaya.

Menurutnya, Amiel menuntut di sebuah tahfiz di Kelantan sebelum berpindah ke pusat tahfiz berkenaan tiga bulan lepas.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan apabila kebakaran yang belum dipastikan puncanya berlaku pukul 5.15 pagi tadi.

Seramai 21 pelajar berumur antara 11 dan 17 tahun serta dua guru yang juga warden dilaporkan maut dalam kejadian itu.

Waris keluarga mangsa kini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses pengecaman mangsa.

((BERNAMA))