Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 3:17 AM UTC, Sep 26, 2017

Tempoh Reman 11 Lanun Dilanjut Hingga 21 Sept Ini

KUALA TERENGGANU - Tempoh tahanan reman terhadap 11 lanun termasuk dalangnya yang cuba merompak kapal tangki MT MGT1 di perairan Terengganu di sini, baru-baru ini
dilanjutkan hingga 21 Sept ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Abdul Latiff bagi membolehkan kesemua suspek yang direman selama tujuh hari sejak 8 Sept lepas, disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

Terdahulu, kesemua suspek yang berusia 38 hingga 59 tahun dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu dengan trak 'Black Maria' dan dikawal pasukan bersenjata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 10 pagi tadi.

Pada 7 Sept lepas, APMM menahan 10 daripada 13 lanun warga Indonesia yang dipercayai cuba merompak diesel yang dibawa sebuah kapal tangki kira-kira 37 batu nautika timur laut Pulau Tenggol, Dungun pada 2.05 pagi.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka meloloskan diri selepas Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang diterbangkan menggunakan Agusta Westland 139 (AW139) melepaskan beberapa das tembakan dari udara selepas mengesan kedudukan kapal terbabit.

MT MGT1 yang dalam perjalanan dari Thailand ke selatan tanah air dilaporkan dinaiki beberapa individu menggunakan bot pancung kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Yu Besar di sini, sebelum APMM menggerakkan aset untuk meninjau keadaan di lokasi.

APMM juga cuba mengesan kedudukan kapal yang membawa muatan 2.2 juta liter minyak diesel terbabit menggunakan Sistem Identifikasi Automatik (AIS) namun ia hilang daripada radar pada 9.15 malam sebelumnya.

Bagaimanapun, tindakan pantas APMM berjaya menggagalkan cubaan rompakan tersebut dan menahan 10 suspek serta seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai dalang utama kes, di sebuah hotel di Johor Bharu, Johor, keesokan harinya.

((BERNAMA))