Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 3:17 AM UTC, Sep 26, 2017

Jerit Minta Tolong, Keluar Ikut Saluran Paip - Pelajar Terselamat

KUALA LUMPUR - Jeritan minta tolong, keadaan gelap gelita, asap dan bahang api adalah saat-saat getir dikongsi mangsa yang terselamat dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini awal pagi tadi.

Menceritakan detik cemas pada 5.15 pagi itu, Muhammad Danial Amru Al-Haz Ali, 16, berkata pelajar terdesak untuk menyelamatkan diri dengan cuba memecahkan pintu dan tingkap termasuk menggunakan saluran air untuk keluar dari bangunan.

"Kami sedang tidur di tingkat tiga. Tiba-tiba ada rakan yang menjerit "api-api" dan semua bergegas turun ke bawah namun pintu terkunci.

"Ada yang cuba memecahkan pintu, tingkap, jeriji besi. Saya larikan diri mengikut saluran air dengan meniarap sehingga ke hujung bersama-sama rakan lain," katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur.

Insiden yang berlaku di bangunan tiga tingkat itu meragut nyawa 22 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu.

Muhammad Danial Amru yang berasal dari Negeri Sembilan berkata sebaik berjaya menyelamatkan diri, dia dan rakan-rakannya terus menjerit dan meminta tolong jiran berdekatan dengan pusat tahfiz tersebut.

Katanya api marak dengan terlalu pantas menyebabkan ada dalam kalangan rakannya yang tidak berjaya menyelamatkan diri dan rentung.

((BERNAMA))