Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 3:17 AM UTC, Sep 26, 2017

NIOSH Harap Pihak Berkuasa Sedia Statistik Kes Kemalangan Industri Pelancongan

JOHOR BAHRU – Pihak berkuasa perlu menyediakan statistik lengkap mengenai kes kemalangan dan penyakit bagi pekerja di industri pelancongan agar pelan khusus dapat dirangka untuk menangani isu berkenaan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun terdapat kemalangan yang berlaku dalam industri pelancongan, agak sukar untuk mendapatkan statistik lengkap kerana sektor itu amat luas dan data berkaitan dikumpul oleh pelbagai agensi berbeza.

Beliau berkata usaha untuk mengumpul statistik berkaitan kemalangan dan penyakit berkaitan pelancong dan mereka yang bekerja dalam sektor berkaitan seharusnya diketuai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Buat masa ini, katanya statistik berkaitan kemalangan dan penyakit melibatkan sektor itu disimpan oleh pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam Sektor Pelancongan peringkat negeri di sini hari ini.

((BERNAMA))