Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Cukai jalan dan insurans bernilai RM107,509.55 milik Ahmad Zahid dibayar guna dana Yayasan Akalbudi

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu cukai jalan dan insurans bagi 20 kenderaan milik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjumlah RM107,509.55 dibayar menggunakan dana Yayasan Akalbudi, antara Januari dan September 2015.

Ejen Insurans syarikat Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abd Rashid berkata pembayaran itu diterima menerusi tiga keping cek Affin Bank milik Yayasan Akalbudi daripada pembantu peribadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan.

Semasa sesi soal balas saksi ke-14 turut bersetuju dengan peguam bela Hamidi Mohd Noh yang mencadangkan dakwat untuk menandatangani ketiga-tiga cek dan dakwat untuk menulis butiran pada ketiga-tiga cek berkenaan adalah berbeza.

Saksi juga bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa ketiga-tiga cek yang diterimanya itu merupakan ‘presigned cheques’.

Jelas saksi, beliau dimaklumkan Mejar Mazlina bahawa 'presigned cheques' bagi mempercepatkan urusan pemprosesan cukai jalan dan insurans.

Sebelum ini, Saksi Pendakwaaan ke 13, Pengurus Cawangan Allianz General Insurance, Fat Suat Lim memberitahu mahkamah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan keluarga telah mengambil empat jenis polisi insurans dengan syarikat Allianz General Insurance.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan isteri serta tiga anak turut merupakan penama kepada polisi insurans yang dimiliki.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan, 12 daripadanya pecah amanah, 8 rasuah dan 27 bagi penggubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.