Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Kemalangan di New Zealand, seorang lagi disahkan meninggal dunia

  • Published in Nasional

PUTATAN - Seorang lagi mangsa disahkan maut menjadikan empat orang meninggal dunia susulan kemalangan maut melibatkan rakyat Malaysia di New Zealand.

Nur Irfan, 15 tahun, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.

Berita sedih itu diterima keluarga terdekat mangsa di Sabah pada pukul 1.30 tengah hari tadi.

Tiga lagi mangsa maut pada hari kejadian ialah pasangan suami isteri berusia 49 tahun, Adnan Jeman dan Dr. Rumihati Abdul Hamid beserta anak kedua mereka Nur Aleeyah Maisarah Arifah, 13 tahun.

Manakala, anak bongsu Nur Arifah Bahiyah, 11 tahun yang dirawat di Hospital Wellington dilaporkan sudah sedar.

Perkara itu disahkan oleh keluarga terdekat mangsa, Afifah Shaiffudin ketika ditemui pemberita di Kampung Ulu Putatan.

Jenazah empat sekeluarga dari Sabah itu dijadual dikebumikan di Christchurch esok.

Dalam kejadian jumaat lalu, 5 sekeluarga berkenaan yang menaiki kereta sewa terlibat kemalangan ngeri di Lebuh Raya Negeri 1, Kaikoura, New Zealand pada pukul 3.10 minit petang waktu tempatan.