Logo

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam proses dimuktamadkan

PUTRAJAYA, 2 Jun - Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pindaan itu membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45, dengan mengenakan hukuman lebih berat serta mengetatkan paras nilai pengaruh alkohol dalam darah, nafas dan air kencing.

Kementerian juga akan memberi fokus untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai kepentingan pemandu bertanggungjawab, yang memerlukan peranan semua pihak untuk mendidik masyarakat sejak kecil mengenai keselamatan jalan raya.

Pindaan itu masih dalam proses untuk dimuktamadkan, sebelum dibentang kepada Kabinet dan Parlimen untuk kelulusan.

Jelasnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Beliau memaklumkan, pihaknya mengadakan mesyuarat khas bersama agensi kementerian itu semalam, bagi membincangkan secara terperinci mengenai cadangan pindaan tersebut.

Insiden kemalangan membabitkan orang awam dan anggota polis yang cedera serta maut akibat dilanggar pemandu mabuk semakin meningkat sejak kebelakangan ini, memaksa kerajaan meminda Akta 333 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.