Thursday, July 2, 2020

updated 1:09 PM UTC, Jul 2, 2020

KKMM laksana tatacara kendali pengumpulan data premis perniagaan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 30 Mei - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan melaksanakan tatacara pengendalian bagi aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan data peribadi oleh premis perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tatatcara ini bagi memastikan orang ramai tidak khuatir untuk memberikan data peribadi mereka kepada mana-mana premis perniagaan bagi tujuan pengesanan kontak dan KKMM akan menjalankan pemantauan secara berterusan.

Semua premis perniagaan yang telah dibenarkan untuk beroperasi semasa PKPB perlu mematuhi sepenuhnya tatacara berkenaan dengan mendapatkan maklumat pelanggan seperti nama, nombor telefon yang boleh dihubungi dan tarikh serta masa kehadiran direkodkan.

Ia dilakukan secara manual atau digital.

Selain itu notis bagi tujuan pengumpulan data peribadi perlu mudah dilihat dan penggunaan dokumen khusus bagi kaedah secara manual mengikut format dan direkodkan sendiri oleh kakitangan premis perniagaan.

Data peribadi yang dikumpul hanya digunakan bagi tujuan pengesanan kontak selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Had masa penyimpanan data peribadi yang dikumpulkan adalah sehingga selepas 6 bulan PKPB ditamatkan dan mesti dimusnahkan secara kekal.

Premis perniagaan perlu memastikan bahawa data peribadi yang diambil mestilah tepat dan tidak mengelirukan.

Kegagalan mana-mana premis perniagaan untuk mematuhi perkara ini boleh disabitkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan dua tahun atau kedua-duanya sekali.