Monday, December 16, 2019
updated 4:56 AM UTC, Dec 16, 2019

Kes pecah amanah & pengubahan wang haram dana SRC :Tidak kurang 60 saksi dipanggil sepanjang Najib beri keterangan bela diri

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Selepas perbicaraan 7 bulan terhadap 7 pertuduhan berkaitan dana SRC International kini tiba masanya Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan bela diri, bagi kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda 5 kali ganda nilai suapan.

Mahkamah mendapati, wujud kes 'prima facie' untuk 3 tuduhan pecah amanah jenayah, 3 tuduhan pengubahan wang haram dan 1 tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Dalam penghakimannya 11 November lalu, Hakim Mohd Nazlan Ghazali memutuskan Datuk Seri Najib mempunyai kepentingan serta kawalan dalam SRC International, selain membiarkan RM42 juta didepositkan ke akaun peribadinya.Mahkamah juga mendapati, Najib tidak berbuat apa-apa, malah mendakwa tidak tahu menahu mengenai wang RM42 juta dalam akaunnya, namun kemudiannya menggunakan wang itu untuk kepentingan diri.

Datuk Seri Najib juga tidak membuat laporan polis mengenainya.

Dia turut menyalah guna kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet pada 2011 dan 2012, untuk meluluskan usul pinjaman jaminan kerajaan RM4 bilion K-W-A-P kepada SRC International.

Memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi esok, Najib akan disoal balas pihak pendakwaan dengan sekurang-kurangnya 60 saksi dipanggil.

Bicara bela diri itu dijadual berlangsung 10 hari iaitu pada 3 dan 4 Disember ini, kemudiannya dari 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berkata, kes dilaksana pihak pendakwaan berdasarkan keterangan saksi dan pelbagai dokumen untuk membuktikan dakwaan terhadap Najib.

Hanya semasa perbicaraan, pihak pembelaan cuba membuktikan akaun Najib dikendalikan Jho Low, namun tidak masuk akal ia tidak diketahui Najib.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 17 Ogos 2011 hingga 10 Februari 2015.