Monday, December 16, 2019
updated 5:05 AM UTC, Dec 16, 2019

Sembilan inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani kesesakan di Tambak Johor

  • Published in Nasional

JOHOR BAHRU- Sembilan inisiatif jangka pendek dan dua inisiatif jangka masa sederhana yang disenaraikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor telah dilaksanakan kerajaan persekutuan.

Antara tindakan ialah melantik Pengarah Jabatan Imigresen Johor sebagai Ketua Penyelaras Bangunan Sultan Ibrahim, BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar, KSAB mulai 1 Ogos lalu bagi menyelaras kawalan operasi kedua-dua pintu masuk berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerja-kerja penambahbaikkan BSI dan KSAB, termasuk baik pulih dan naik taraf fasiliti, penggantian aset dan sistem kawalan imigresen serta kastam yang dianggarkan berjumlah RM82.6 juta, turut dijangka selesai pada 2020.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Turut diberi perhatian ialah permintaan untuk menambah bilangan penjawatan Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.

Perkara itu akan diteliti Jabatan Perkhidmatan Awam kerana melibatkan kos yang banyak selain perlu menyemak peruntukan disediakan.