Logo

Lelaki ditahan rempuh pagar Istana Iskandariah

 

KUALA KANGSAR, 25 Mei - Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan selepas menceroboh dan merempuh masuk pintu pagar Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pagi tadi.

Dalam kejadian, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori simen itu juga membawa sepucuk pistol mainan dan sebilah pisau semasa ditahan dua anggota polis yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata, suspek berasal dari Gerik, Perak mendakwa dirinya dipanggil pihak istana untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 426 dan 447 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana pada pagar istana dan menceroboh istana dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.