Monday, December 16, 2019
updated 5:49 AM UTC, Dec 16, 2019

Keterangan bertulis Bekas Ketua Audit Negara : DS Najib arah laporan audit akhir 1MDB dipinda

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Minggu ke-2 kes dakwaan pindaan Laporan Audit Akhir 1MDB menyaksikan keterangan bertulis dari bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menjadi tumpuan ketika prosiding berlangsung.

Kita ikuti rangkuman minggu ini dengan fokus terarah kepada keterangan Tan Sri Ambrin mengenai arahan tertuduh, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meminda laporan tersebut DAN janjinya kepada bekas Ketua Audit Negara itu untuk kononnya menyiasat dua versi laporan yang berbeza.

Pada hari ke-4 perbicaraan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan Datuk Seri Najib mengarahkan Tan Sri Ambrin, selaku Ketua Audit Negara supaya tidak memasukkan maklumat berkaitan masalah dialami 1MDB dalam laporan akhir audit syarikat itu.

Arahan itu diberikan ketika pertemuan mereka di pejabat Datuk Seri Najib dua hari sebelum satu mesyuarat penting bagi meminda laporan audit itu diadakan pada 24 Februari 2016.

Tertuduh juga kemudiannya meminta Tan Sri Ambrin tidak memasukkan dua versi laporan kewangan yang berbeza ke dalam laporan akhir.

Datuk Seri Najib turut berjanji bahawa isu itu akan disiasat pihak berkuasa selain akan mencari punca masalah itu secepat mungkin.

Menurut Tan Sri Ambrin, ketika mesyuarat berlangsung Jabatan Audit Negara didesak supaya mengambil kira maklum balas daripada pihak 1MDB.

Perkara itu dibangkitkan, bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

 Mesyuarat itu juga bersetuju bahawa maklumat mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dikeluarkan dari laporan akhir audit.

Tan Sri Ambrin turut memberitahu, bahawa dia berasa tertipu dengan Datuk Seri Najib selepas mendapati tiada laporan polis dibuat berhubung dua laporan kewangan 1MDB yang berbeza SERTA dikeluarkan dari laporan akhir audit syarikat pelaburan itu.

Sebelumnya Datuk Seri Najib memberi jaminan perkara tersebut disiasat pihak berkuasa.

Beliau sebelum itu memberi keterangan bertulis sepanjang 49 muka surat dihadapan Hakim Mohd Zaini Mazlan.

Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan satu salinan laporan audit asal 1MDB tidak dilupuskan bagi membolehkan ia disimpan oleh pegawai penyelaras bagi laporan itu, Nor Salwani Muhammad.

Tegas Tan Sri Ambrin, Ketua Audit Negara mempunyai kuasa untuk membuat keputusan walaupun dokumen terbabit dilindungi Akta Rahsia Rasmi 1972.

Salinan tunggal laporan 1MDB tersebut kini dijadikan bukti utama dalam perbicaraan kes.

Turut dijelaskan, perbuatan meletakkan perakam audio oleh Nor Salwani bukan satu kesalahan tatalaku kerana ia sebagai alat bantu mengambil nota mesyuarat.

Pada hari ke-5 prosiding, Tan Sri Ambrin berkata, beliau membuat pindaan berdasarkan pennilaian dan fakta yang dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara.

Beliau tiada pilihan selain membuat pindaan itu kerana isu kepentingan negara dibangkitkan semuasa mesyuarat koordinasi pindaan kepada laporan tersebut.

Empat isu kemudiannya dipersetujui untuk dikeluarkan daripada laporan audit, termasuk dua versi laporan kewangan yang berbeza dan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.

Datuk Seri Najib dituduh menggunakan jawatannya untuk membuat pindaan kepada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Perbicaraan bersambung semula pada 13 Januari tahun hadapan.