Monday, December 16, 2019
updated 4:24 AM UTC, Dec 16, 2019

IPCMC perlu tapi ditambahbaik

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan di dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis, IPCMC sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia, Kuan Chee Heng berkata beliau menyokong IPCMC seperti pendirian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd Hamid Bahador, tetapi bersyarat kerana ada beberapa isu perlu diperbaiki.

Kuan Chee Heng berkata pihaknya percaya RUU IPCMC perlu diperbaiki dan diperhalusi semula sebelum dibentang di parlimen untuk memastikannya selaras kaedah perlembagaan dan kehendak undang-undang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengasingan kuasa antara perkara yang perlu diberikan perhatian kerana dalam RUU IPCMC tiga proses utama iaitu menerima aduan, keputusan untuk pendakwaan, dan menjatuhkan hukuman diletakkan dalam bidang kuasa IPCMC.

Menurutnya, hak orang dituduh perlu juga diambil-kira misalnya untuk membela diri, termasuklah apabila menjalani proses soal-siasat iaitu berhak untuk tidak menjawab soalan.

Khususnya, jika ada orang dituduh berhadapan dengan soalan-soalan yang boleh menyebabkannya dianggap bersalah semasa sesi soal siasat dan dituduh di mahkamah.