Monday, December 16, 2019
updated 4:59 AM UTC, Dec 16, 2019

Karnival Deepavali yang terbesar di negara berjaya membawa keuntungan yang lebih besar berbanding tahun lalu

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR - Karnival Deepavali yang terbesar di negara, anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd berjaya membawa keuntungan yang lebih besar berbanding tahun lalu.

Jelas Jaggarao Simancha, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communication, beliau berasa gembira dengan kadar penglibatan usahawan tempatan terutamanya golongan muda dengan peluang-peluang perniagaan yang menarik.

Karnival yang telah diadakan dari 18 hingga 26 Oktober lalu, telah berjaya menghimpunkan ramai usahawan tempatan dan luar negara dalam menyediakan tawaran harga menarik kepada golongan pengunjung.

Namun, Jaggarao berasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mensabotaj karnival berkenaan dengan pelbagai dakwaan seperti penyalahgunaan permit pekerja atau peniaga dari luar negara dan merosakkan perniagaan kaum India yang lain.

Jaggarao juga menyatakan bahawa kesemua yang terlibat dalam karnival tersebut bukan pendatang tanpa izin, PATI seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Jelasnya, beliau telah berjaya melahirkan ramai usahawan menerusi karnival tersebut malah, beliau juga turut membantu dalam aspek pembangunan usahawan di kalangan kaum India.

Sepanjang karnival tersebut, 450 gerai telah disediakan oleh pempamer dari Malaysia, India dan Pakistan menawarkan pakaian, sari, barang kemas, barang perhiasan dan kuih tradisional.

Daripada 450 gerai, 65 peratus diusahakan oleh usahawan tempatan dan 35 peratus oleh peniaga asing dan antara 400,000 hingga ke 500,000 pelawat telah berkunjung ke karnival tersebut untuk membeli-belah.