Monday, June 1, 2020

updated 2:10 PM UTC, Jun 1, 2020

Sambut Syawal: Pasang pelita, meriahkan Aidilfitri

  • Published in Nasional

KUANTAN, 22 Mei - Penduduk Kampung Cherok Paloh di Kuantan, Pahang mengambil inisiatif memasang ratusan pelita bagi menghidupkan suasana menjelang sambutan Aidilfitri.

Aktiviti itu sedikit sebanyak menceriakan penduduk yang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mencegah Covid-19.

Aktiviti ini juga selari dengan sambutan malam 7 likur sebelum ketibaan Syawal.

Pengerusi Persatuan Warga Prihatin Cherok Paloh, Nor Adnan Mohd Nor berkata, orang muda dan penduduk mencadangkan supaya diadakan aktiviti bagi memeriahkan ketibaan Syawal walaupun sambutan tahun ini berdasarkan norma baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Selain memasang pelita moden, penduduk turut bergotong royong menghasilkan pelita daripada buluh yang kemudian dipasang sekitar laman rumah dan tepi jalanraya utama.

Melihat sambutan yang menggalakkan, pihaknya turut merancang untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan penduduk kampung setiap kali menjelang Aidilfitri.

Malah, usaha pihaknya turut mendapat perkongsian orang ramai yang lalu lalang di kawasan kampung apabila mereka berhenti untuk bergambar.

Sehingga kini, terdapat 280 pelita dipasang di sekitar kampung dan akan ditambah sehingga ketibaan Syawal.