Sunday, September 24, 2017
vital-top
updated 3:13 PM UTC, Sep 23, 2017

Isa Samad Dibebaskan Selepas Direman Lima Hari

PUTRAJAYA  - Mahkamah Majistret membebaskan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas direman lima hari sejak Rabu lepas bagi membantu siasatan kes pembelian hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang mengendalikan prosiding itu membenarkan Mohd Isa, 68, dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin.

Mohd Isa kelihatan tersenyum sebaik keluar dari bilik bicara mahkamah pada kira-kira 10.45 pagi, disambut sorakan gemuruh para penyokongnya di perkarangan Mahkamah Majistret Putrajaya. Beliau juga kelihatan bersalam-salaman dengan mereka.

Mohd Isa yang berbaju lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 9.50 pagi, dengan lebih 100 penyokong serta anggota keluarga termasuk isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang menunggu beliau sejak pukul 9 pagi.

Datuk K.Kumaraendran yang mengetuai pasukan peguam yang mewakili Mohd Isa berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon lanjutan tempoh reman berikutan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.

(Sumber - Bernama)