Saturday, August 19, 2017
vital-top
updated 3:02 AM UTC, Aug 19, 2017

Sita Bauksit: Kementerian Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM

KUALA LUMPUR  -Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar komited dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan perlombongan bauksit haram di Pahang, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kementerian tidak akan melayan sebarang rayuan atau permintaan untuk campur tangan dalam siasatan SPRM yang sedang berjalan itu.

"Kementerian menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil SPRM dalam menyita simpanan stok bauksit bagi membantu siasatan mereka berhubung perlombongan bauksit haram," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi mengulas laporan sebuah portal berita bertajuk ¨SPRM Akan Sita Lebih 10 Juta Tan Bauksit di Pahang¨ yang disiarkan semalam.

Beliau juga berkata pengusaha perlombongan bauksit berkenaan gagal mematuhi moratorium yang dikenakan oleh kerajaan sejak Januari tahun lepas, sekalipun kementeriannya telah mengeluarkan banyak peringatan menerusi telefon dan juga media kepada mereka.

(Sumber - Bernama)