Saturday, August 19, 2017
vital-top
updated 3:02 AM UTC, Aug 19, 2017

Kemuncak Fenomena Pancuran Meteor Perseid 13 Ogos Ini

KUALA LUMPUR - Kemuncak fenomena pancuran meteor Perseid akan dapat dilihat di ruang angkasa negara pada sekitar 1 pagi Ahad ini (13 Ogos).

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), rakyat Malaysia dijangka dapat melihat secara purata sekitar 60 hingga 100 meteor sejam dan boleh mencecah sehingga 150 meteor sejam bagi kawasan yang bebas daripada pencemaran cahaya semasa kemuncak fenomena.

“Bagaimanapun, cabaran pada 2017 adalah cahaya bulan yang terang kerana bulan baru sahaja melepasi fasa purnama (waning gibbous) ketika kemuncak kemunculan meteor pada 13 Ogos.

"Keadaan ini mungkin menyebabkan kadar kenampakan kurang. Bagaimanapun, jumlah meteor yang dapat dilihat bergantung kepada keadaan tempat dan cuaca," menurut kenyataan itu.

Pancuran meteor Perseid berlaku setiap tahun pada 17 Julai hingga 24 Ogos, apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet terbakar ketika memasuki atmosfera bumi.

Tiada sebarang program pencerapan dilakukan Angkasa namun orang ramai dipelawa berkongsi imej fenomena berkenaan di Facebook Angkasa.

((BERNAMA))