Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Platform memartabatkan seni warisan Orang Asli

  • Published in Nasional

JELI - Penganjuran Festival Kebudayaan dan Kesenian Masyarakat Orang Asli kali ketiga berjaya menghimpun hasil karya bermutu dan menjadi platform terbaik mempromosi dan memartabat keunikan seni warisan masyarakat itu.

Dengan tema “The Soul Of Sewang 3.0”, festival yang memasuki siri ketiga penganjuran sejak 2015 itu berlangsung selama tiga hari bermula 15 November lepas di Jeli.

Tahun ini, kemuncak festival diadakan di Dataran Muzium Orang Asli Jeli di sertai 10 kumpulan terdiri daripada etnik Temiar, Mendriq, Jahai, Bateq dan Semoq Beri.

Perasmian program telah disempurnakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Inisiatif yang digerakkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan ternyata berjaya menghimpunkan hasil karya bermutu pelbagai etnik suku kaum Orang Asli khususnya di Pantai Timur.

Ia juga di harap mampu meningkatkan kefahaman masyarakat untuk saling hormat menghormati bagi mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.