Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Nahas jalan raya di Melaka, dua remaja terbunuh, treler rempuh Perodua Myvi

  • Published in Nasional

AYER KEROH - Dua maut manakala enam cedera termasuk tiga kanak-kanak dalam kemalangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Lukman Haqim Mosyazid dan Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Ali masing-masing berusia 19 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 7.45 malam, selepas treler yang membawa muatan serbuk batu kapur, dipandu seorang lelaki yang datang dari arah Seremban terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh lalu menghempap Perodua Myvi dinaiki dua remaja berkenaan sehingga remuk.

Difahamkan, kedua-dua remaja itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk memulakan latihan industri.

Mengulas lanjut, kemalangan itu melibatkan empat kenderaan lain dan kesemua manga yang cedera dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.57 malam sebelum dua jentera bersama kekuatan 28 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Setiba dilokasi, pasukan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian kereta untuk mengeluarkan mangsa pertama sebelum berjaya membawa keluar mangsa seterusnya tujuh jam kemudian dengan bantuan kren.

Mangsa yang maut juga dihantar ke Hospital Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.