Friday, May 29, 2020

updated 4:56 AM UTC, May 29, 2020

Dua suspek diburu, pecah masuk kedai serbaneka di stesen minyak

  • Published in Jenayah

SUNGAI PETANI, 26 April - Dua individu diburu polis kerana memecah masuk kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Taman Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, kejadian disedari pemilik premis yang membuat semakan rakaman kamera litar tertutup menerusi telefon bimbit miliknya kira-kira pukul 10.45 malam.  

Berdasarkan rakaman tersebut, dua lelaki yang berpakaian serba hitam dan menutup muka, bertopi dan memakai sarung tangan dilihat memecah masuk kedai serbaneka.

Pemilik premis berusia 49 tahun yang tiba di kedai berkenaan 15 minit kemudian bagaimanapun tidak menemui sesiapa di premis terbabit.

Namun peti besi wang yang diletakkan di dalam kedai telah ditarik keluar dan ditinggalkan di hadapan kedai.

Sebuah CPU komputer, wang tunai RM300 dan rokok pelbagai jenama dilarikan suspek melibatkan kerugian keseluruhan RM600.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.