Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Mangsa Keempat Wabak Rabies Meninggal Dunia

KUCHING – Mangsa keempat wabak Rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak di sini hari ini , hanya empat hari selepas wabak itu meragut nyawa mangsa ketiga.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa mangsa, Florancesia Ak. Edward, berusia 5 tahun, dari Kampung Ampungan, Serian meninggal kira-kira 2 petang akibat “rabies encephalomyelitis”.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Asem Ladong, 52, berkata kedua ibu bapa mangsa berada bersama-sama Florancesia hari ini apabila kakitangan hospital menanggalkan mesin sokongan hayat kira-kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata mangsa digigit anjing di tangan kirinya kira-kira seminggu sebelum sambutan Hari Gawai di kampung kelahiran datuknya, Kampung Serobang di daerah Serian dan segera dibawa ke Hospital Serian untuk menerima rawatan.

Florancesia ialah anak kedua daripada tiga beradik iaitu dua perempuan dan seorang lelaki. Kakaknya berusia enam tahun sementara adik lelakinya berusia empat tahun.

Asem berkata upacara pengebumian akan berlangsung esok di Kampung Ampungan.

Mangsa ketiga wabak rabies ialah kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebor, Serian, yang meninggal dunia pukul 2.16 tengah hari pada Khamis lepas, lebih seminggu selepas dua beradiknya meninggal.

Pada 4 Julai, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan adik lelakinya berusia empat tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, meninggal dunia akibat jangkitan itu.

((BERNAMA))