Wednesday, September 20, 2017
vital-top
updated 4:01 PM UTC, Sep 20, 2017

MRT: Kejayaan Besar Kerajaan Majukan Pengangkutan Awam

KAJANG - Pelancaran fasa kedua Laluan Transit Aliran Massa (MRT) pertama hari ini merupakan kejayaan besar kerajaan dalam usaha berterusannya untuk memajukan dan menambah baik rangkaian pengangkutan awam, khususnya di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51km akan memberi akses yang lebih baik kepada penumpang di sepanjang laluan itu.

Katanya, Laluan MRT SBK direka bentuk bagi memastikan wujudnya integrasi serba lengkap dengan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada dan akan datang seperti Transit Aliran Ringan (LRT), LRT3, MRT2 dan KTM Komuter.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis pelancaran MRT di sini.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyifatkan projek MRT yang siap dilaksanakan itu sebagai suatu hadiah untuk rakyat, terutama di Selangor.

Katanya daripada 31 stesen Laluan SBK yang telah dibina, majoriti terletak di Selangor.

((BERNAMA))