Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Mukim Matang Diwarta Kawasan Jangkitan Rabies

IPOH - Kerajaan Perak mewartakan mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama sebagai kawasan penyakit anjing gila atau rabies, berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pewartaan itu dikeluarkan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu laporan Ketua Audit Negara di sini hari ini.

Pada 4 Julai lepas, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang digigit anjing perliharaan mereka sebelum haiwan itu mati lapan hari kemudian.

Datuk Seri Dr Zambry berkata, di bawah perintah itu, mana-mana individu dilarang membawa keluar sebarang anjing dari mukim berkenaan melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak Dr Fuziah Muhayat.


Katanya pemilik atau orang yang bertanggungjawab ke atas mana-mana anjing dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila hendaklah memastikan anjing mereka disimpan dengan kawalan ketat.

((BERNAMA))