Wednesday, November 20, 2019
updated 12:03 PM UTC, Nov 20, 2019

MOA komited laksana Program Rezeki Tani

  • Published in Nasional

PONTIAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) komited membantu golongan B40 meningkatkan taraf hidup dengan menghasilkan pendapatan sendiri melalui Program Rezeki Tani.

Seramai 300 peserta Rezeki Tani di seluruh negara berjaya menerima bantuan peralatan perniagaan bernilai RM10,000 menjelang suku ketiga tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menjelaskan keutamaan diberi kepada peserta yang berpengalaman dan berkemahiran melakukan perniagaan kecil-kecilan berasaskan penternakan, perikanan dan pertanian.

Pemilihan peserta akan diputuskan oleh agensi kerajaan di bawah MOA.

Dalam masa sama, golongan belia di nasihat memaklumkan perniagaan yang ingin dijalankan kepada Ketua Kampung dan agensi berkaitan bagi memohon bantuan di bawah program Rezeki Tani.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Rezeki Tani di Kampung Serkat Laut, Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Sementara itu, penerima rezeki tani yang dipilih Jabatan Perikanan, Suriati Moh, memperoleh bantuan peralatan memasak.

Ibu kepada enam anak yang menjalankan perniagaan nasi lemak dan kuih itu menzahirkan rasa syukur dan berhasrat mengembangkan perniagaannya.