Wednesday, November 20, 2019
updated 11:04 AM UTC, Nov 20, 2019

Lima projek mega di Kelantan tetap diberi keutamaan

  • Published in Nasional

KOTA BHARU - Lima projek berimpak tinggi yang diumumkan Mac lalu di Kelantan tetap akan diberi keutamaan walaupun tidak disebut dalam Belanjawan 2020.

Projek terlibat adalah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), laluan baharu Pasir Puteh - Machang - Jeli, Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai dan Jambatan Palekbang - Kota Bharu.

Menurut Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin, semua pihak perlu memahami konsep pembentangan Belanjawan 2020 yang diumumkan secara keseluruhan.

Beliau di temui media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Dwibahasa Piala Dr Radzi Jidin Peringkat Parlimen Ketereh di SMK Padang Kala, Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Radzi memaklumkan kesemua projek terlibat akan diperincikan dalam tempoh terdekat.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan kesal apabila lima projek besar diumumkan oleh Kerajaan Pusat di negeri itu, tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2020.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, turut mempersoalkan bagaimana projek berkenaan mahu diteruskan, sekiranya ia tidak dimasukkan dalam belanjawan 2020.