Friday, August 18, 2017
vital-top
updated 2:26 PM UTC, Aug 18, 2017

PRK Dun Pujut Dibatalkan - SPR

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut di Sarawak.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan berkata keputusan itu adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada Sabtu lepas yang mengekalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat khas SPR hari ini mengenai status proses PRK DUN Pujut susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching membatalkan keputusan DUN Sarawak yang melucutkan keanggotaan Dr Ting sebagai ADUN Pujut.

SPR sebelum ini menetapkan 20 Jun sebagai tarikh penamaan calon dan 4 Julai sebagai hari mengundi bagi kerusi itu.

Pada 12 Mei lepas, Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai ADUN Pujut kerana beliau didakwa pernah memegang dua kewarganegaraan (Malaysia dan Australia) selepas usul itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan undi 70-10.

Pelucutan keanggotaan Dr Ting menyebabkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Pujut.

Pada 7 Jun lepas, Dr Ting memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan DUN itu.

((BERNAMA))