Friday, August 18, 2017
vital-top
updated 2:26 PM UTC, Aug 18, 2017

Operasi Kesan Enam Kru Kapal Mt Putri Sea Ditamatkan - APMM

JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam anak kapal MT Putri Sea yang hilang semasa kapal terbabit dilaporkan terbakar dan karam, dekat Pengerang, Khamis lepas, ditamatkan semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah Maritim Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof dalam kenyataan berkata operasi berkenaan ditamatkan pada 7 petang semalam kerana tiada petunjuk atau tanda berkaitan mangsa yang hilang.

Katanya operasi berkenaan melibatkan lebih 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. 

Sanifah berkata operasi berkenaan turut dibantu pihak Singapura dan Indonesia bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan perairan masing-masing tetapi masih tiada penemuan terhadap mangsa.

Katanya operasi SAR akan diaktifkan semula sekiranya terdapat laporan berhubung penemuan mangsa yang hilang. 

Awal pagi Khamis lepas, enam anak kapal warga Indonesia dilaporkan hilang apabila kapal tangki tersebut meletup dan dipercayai tenggelam di kedudukan 4.6 batu nautika barat daya Tanjung Pengelih, dekat Pengerang.

Anak kapal berkenaan dikenali sebagai Akhmad Faharuddin, 35; Muhamad Heri Hernanda, 28; Abdur Rahem, 31; Rendy Alamanda, 28; Sulkifli, 39, dan Yohanis Sumari, 35.

Kapal MT Putri Sea dipercayai membawa muatan minyak mentah dan telah didaftarkan di Pelabuhan Malabo, Equatorial Guinea.

Laporan kehilangan kapal berkenaan diterima daripada Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) sekitar jam 5 pagi setelah ejen kapal cuba menghubungi kapal berkenaan tetapi gagal.

((BERNAMA))