Logo

Rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara diminta bertenang

PUTRAJAYA, 26 Mac - Rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diminta bertenang serta mengikut arahan yang dikeluarkan kerajaan serta kerajaan negara tuan rumah.

Ini bertujuan memudahkan urusan mengkoordinasikan langkah-langkah seterusnya.

Ia termasuk memastikan mereka telah berdaftar dengan perwakilan Malaysia di negara berkenaan.

Jelas Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar, ketika ini seramai 2,417 rakyat Malaysia sudah berjaya dibawa pulang dari 26 buah negara.

Tegas beliau, kerajaan tidak pernah mendiskriminasi atau pilih kasih dalam membawa balik warga negara yang terkandas.

Pada masa sama Wisma Putra turut mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak dalam memudahkan urusan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media secara dalam talian langsung dari Wisma Putra.

Sehingga kini seramai 2,982 rakyat Malaysia masih terkandas di 55 buah negara akibat pandemik COVID-19.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.