Tuesday, March 31, 2020

updated 2:27 PM UTC, Mar 31, 2020

RM63.6 juta diperuntukkan bantu warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 25 Mac - RM63.6 juta diperuntukkan bagi membantu rakyat di Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Inisiatif Wilayah Cakna menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan itu diumumkan Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan dan Pusat Pengurusan Krisis (CMC) akan menyelaras pengagihan bantuan berdasarkan tiga kluster, iaitu petugas, pesakit, PUI dan mangsa, serta kluster warga Wilayah Persekutuan.

Bantuan termasuk pengecualian bayaran sewa kepada 40 ribu penyewa Projek Perumahan Rakyat PPR dan Perumahan Awam MTEN-DBKL.

Selain itu, penangguhan 6 bulan bayaran balik pembiayaan tanpa sebarang penalti lewat bayar diberi bagi pembelian rumah di bawah Skim Pembiayaan Khas Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan, anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan sama, penjaja dan peniaga kecil di Kuala Lumpur mendapat pengecualian sewa 3 bulan kepada 6,000 penjaja serta sumbangan RM500 kepada 17,617 penjaja.

Di Putrajaya, pengecualian 2 bulan sewa premis PPj dan program penjualan barangan keperluan harian diberi, selain sumbangan RM500.

Manakala penjaja dan peniaga kecil Labuan akan turut menerima sumbangan RM500.

Pek makanan akan diagih kepada keluarga miskin dan B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, selain bantuan makanan buat 700 gelandangan.

Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperuntukkan zakat khas RM500 kepada lebih 24 ribu keluarga asnaf, selain mempercepat bantuan kewangan bulanan untuk 22 ribu keluarga.