Saturday, March 28, 2020

updated 3:10 PM UTC, Mar 28, 2020

Masyarakat dan NGO hulur bantuan kepada pasukan keselamatan sepanjang PKP

  • Published in Nasional

SHAH ALAM, 25 Mac - Prihatin dengan kesukaran dan tanggungjawab pasukan keselamatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ke-8 hari ini, pelbagai usaha dilakukan masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menyuntik semangat barisan hadapan untuk terus memberi khidmat terbaik dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Bertempat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor, majlis penyerahan sumbangan berupa makanan dan minuman telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Dato' Arjunaidi Mohamed sebagai tanda sokongan Yayasan Usahawan Negara kepada pihak polis sepanjang tempoh PKP.

Jelas Datuk Seri Megat Shahriman yang ditemui selepas majlis tersebut, usaha ini adalah sebagai menyahut seruan Menteri Dalam Negeri, yang mengalu-alukan bantuan daripada NGO dan syarikat swasta bagi melancarkan PKP.

Beliau menambah, pihaknya akan berusaha meneruskan inisiatif menyalurkan bahan makanan kepada anggota barisan hadapan sehingga tarikh akhir PKP.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan tarikh lanjutan PKP sehingga 14 April sebagai langkah memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang kini mencatatkan 17 kematian dalam negara.