Saturday, 15 August 2020

updated 7:44 AM UTC, Aug 15, 2020

Pakej bantuan Covid-19 Sabah, dijangka ringankan beban golongan terjejas

  • Published in Nasional

KOTA KINABALU, 25 Mac - Sabah melancarkan 'Pakej Bantuan Covid-19' berjumlah RM670 juta.

Pakej berkenaan merangkumi 15 langkah untuk membantu meringankan beban pelbagai lapisan masyarakat yang terjejas akibat wabak itu.

Pakej berkenaan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk seri Panglima Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu dibahagikan kepada 3 kategori.

Pertama, bantuan kepada petugas barisan hadapan termasuk pembiayaan perbelanjaan kecemasan RM50 juta untuk pembelian kelengkapan kritikal dan RM10 juta untuk bantuan makanan dan keperluan petugas barisan hadapan.

Kategori kedua, bantuan kepada rakyat terjejas, antaranya, peruntukan RM20 juta untuk golongan terjejas secara langsung termasuk penduduk di kampung-kampung dan pelajar manakala RM20 juta elaun bantuan khas golongan miskin dan miskin tegar.

Bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat, pengecualian pembayaran bil air pengguna domestik selama 3 bulan akan dilaksanakan bermula April ini dan diskaun 30 peratus bil elektrik untuk tempoh 3 bulan.

Sebanyak RM290 juta pula diperuntukkan untuk memperkukuh perniagaan serta menambah baik kualiti infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar.