Saturday, March 28, 2020

updated 1:48 PM UTC, Mar 28, 2020

110 individu ingkar PKP ditahan polis

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 25 Mac - 110 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 7 hari pelaksanaannya, bermula 18 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kebanyakan yang ditahan membabitkan kesalahan ingkar arahan dan mencabar tugas anggota ketika sekatan jalan raya.

Jelas Tan Sri Abdul Hamid, peranan dan tanggungjawab polis amat jelas disebut dan digariskan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dalam pelaksanaan PKP.

Pada peringkat awal, polis mengambil pendekatan merayu, menjelaskan dan menasihati orang ramai supaya mematuhi PKP.

Namun, polis tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan menahan individu yang ingkar.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan pihaknya tidak akan teragak-agak menahan individu yang melanggar perintah berkenaan.