Tuesday, October 22, 2019
updated 1:24 AM UTC, Oct 22, 2019

Polis Marin Labuan rampas alat tangkapan ikan bernilai RM164,500

  • Published in Nasional

LABUAN - Sebuah bot nelayan bersama peralatan tangkapan dan hasil laut dianggarkan bernilai RM164,500 dirampas Polis Marin Labuan, kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Bot nelayan jenis pukat tunda itu didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan, iaitu menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, bot itu ditahan menerusi Op Gelora yang dilakukan sepasukan anggotanya yang sedang melakukan tugas rondaan dikawasan Laut Jahat Shoal, 17 batu nautika, dari Utara Tanjung Kubong, Labuan.

Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat 6 orang krew termasuk juragan bot, kesemuanya warga Indonesia, berumur 28 hingga 35 tahun.

Kesemua mereka termasuk bot, 2 gulung pukat, serta 500 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis ikan, kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Labuan.

Kes diserah kepada Jabatan Perikanan Labuan, untuk tindakan lanjut.