Perintah Kawalan Pergerakan; Jawatankuasa Khas dianggotai 19 kementerian ditubuhkan

 

PUTRAJAYA, 19 Mac - Kabinet menubuhkan Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri bagi menyelaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam hingga 31 Mac ini.

Jawatankuasa itu melibatkan 19 menteri, Ketua Setiausaha Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Peguam Negara dan Ketua-ketua Setiausaha kementerian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, ia akan dianggotai agensi penyelaras yang terbabit dengan penugasan sepanjang tempoh perintah berjalan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Putrajaya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, sidang media akan diadakan setiap hari, pada 12 tengah hari, bagi mengumumkan maklumat terkini kepada rakyat.