Bekalan air di Klang dijangka pulih sepenuhnya petang ini

SELANGOR, 18 Mac - Bekalan air di kawasan Klang yang terjejas ekoran pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som, dalam kenyataannya, berkata syarikat itu sedang berusaha menstabilkan bekalan air di kawasan yang terjejas.

Pihak Air Selangor telah juga menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan yang masih terjejas.

Semalam, Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran itu dikesan pada 7 malam. Bagaimanapun, kesemua loji berkenaan telah beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi.