Tuesday, October 22, 2019
updated 1:19 AM UTC, Oct 22, 2019

Lebih 25,000 peserta sertai Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Negeri Perlis

  • Published in Nasional


KANGAR, PERLIS - Lebih 25,000 peserta dari pelbagai peringkat umur dijangka menyertai Bulan Sukan Negara 2019 peringkat negeri Perlis yang telah mula berlangsung sejak 1 Oktober dan berakhir pada 31 Oktober ini.

Dan lebih 200 acara sukan diatur bagi menjayakan Bulan Sukan Negara itu.

Jumlah peserta meningkat lebih 150 peratus berbanding penganjurannya tahun lalu iaitu seramai 10,000 peserta.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Norhazita Kamaludin berkata, penglibatan yang menyeluruh ini membuktikan amalan gaya hidup sihat yang diterapkan Jabatan Belia dan Sukan disambut baik ke arah melahirkan masyarakat yang cergas dan aktif dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Buat julung kalinya, pelancaran BSN ini disekalikan dengan Kejuaraan Cup Prix Malaysia Petronas pusingan ketujuh.

Tuanku Syed Faizuddin turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelumba Cup Prix kategori CP150 dan mengunjungi khemah pameran setiap pasukan yang terlibat.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Syahreen Akashah Khalil.