Logo

Pakatan Harapan masih dihargai dan mendapat sokongan rakyat


SUBANG, SELANGOR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad berkata Pakatan Harapan (PH) masih dihargai dan mendapat sokongan rakyat.

Perdana Menteri menyifatkan kajian sesetengah pihak yang menyatakan sokongan rakyat terhadap PH menurun adalah tidak tepat kerana hanya mengambil pandangan setengah pihak.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi PH berkata, pihaknya sedar ada pihak menyatakan sokongan rakyat terhadap PH telah menurun daripada 80 peratus kepada 38 peratus.

Justeru beliau menjelaskan kerajaan perlu berjaga-jaga agar ia tidak merosot.

Tambahnya, meskipun terdiri daripada gabungan lima parti, PH masih kekal sebagai kerajaan dalam membuat keputusan yang diterima semua pihak.

Turut hadir pada Majlis Temu Rapat Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) ini,

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Dr Yusof Yaacob.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.