Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Keputusan Hasil Bedah Siasat Kedua Mohamad Thaqif Dijangka Diperoleh Dalam Tempoh Dua Minggu

KUALA LUMPUR - Keputusan hasil bedah siasat kedua ke atas mayat khususnya sampel kaki Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata bedah siasat pertama ke atas pelajar tahfiz yang meninggal dunia 26 April lepas itu telah dilakukan namun punca kematian masih belum diketahui.

"Proses penggalian balik (mayat) dilakukan agar pakar patologi dapat menentukan punca kematian  Allahyarham Mohamad Thaqif.

Walaupun kita mempunyai tentatif diagnosis tetapi saya tidak akan mengumumkan keputusan tersebut. Kita akan tunggu laporan akhir untuk mengetahui punca kematiannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Saintifik yang ke-47 dan Jubli Emas Persatuan Orthopedik Malaysia (MOA).

Menurut beliau, walaupun pakar patologi pada mulanya telah mendapatkan beberapa penemuan hasil daripada bedah siasat pertama namun mereka masih tidak berpuas hati dengan bukti yang sedia ada.


Sumber : BERNAMA