Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Kastam Terengganu Lancar Ops T-Cbos Sekat Penyeludupan Di Musim Perayaan

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu akan melaksanakan Operasi Terengganu Strategi Lautan Biru Kastam  atau OPS T-Cbos bagi menyekat kegiatan penyeludupan barangan terlarang khususnya pada musim perayaan.

Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata operasi itu adalah bagi menyekat pergerakan bekalan, penjualan dan pembelian barang-barang yang belum mendapat kelulusan Kastam.

Beliau berkata operasi bermula 22 Mei hingga 22 Jun itu akan memberi fokus terhadap pelbagai bentuk barangan terutama rokok, mercun dan bunga api.

Selain mengadakan sekatan di jalan raya, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan di premis menjual mercun dan bunga api serta di bazar Ramadan yang menjual bahan larangan tersebut.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang ditahan atas kesalahan tersebut dan rampasan serta tangkapan akan dilakukan kepada mereka yang ingkar.

"Saya ingin menegaskan tiada tawaran kompaun akan dikeluarkan serta tiada bayaran tunai perlu dibuat bagi tujuan bayaran kepada Jabatan Kastam sepanjang operasi berkenaan," katanya.

Bagi melancarkan operasi  itu, beliau berkata pihaknya memohon semua peniaga dan orang ramai memberi kerjasama dan sebarang keraguan boleh berhubung terus menerusi talian 09-62256674.


Sumber : BERNAMA