Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Tindakan Tegas Guna Tiket Palsu Piala FA - Polis

SHAH ALAM - Polis sekali lagi menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket dan pas VIP palsu untuk aksi final bola sepak Piala FA di Stadium Shah Alam, esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata mesin pengimbas akan ditempatkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) di pintu masuk utama stadium bagi mengesan tiket palsu.

Beliau juga menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak menggunakan dron pada perlawanan itu kerana ia akan mengganggu konsentrasi penonton.

Katanya seramai 2,315 anggota penguat kuasa termasuk 81 pegawai dan 1,924 anggota polis akan bertugas ketika perlawanan berlangsung.

Beliau berkata polis dengan kerjasama FMLLP turut menyediakan tiga lorong khas di semua pintu masuk bagi penyokong kanak-kanak, penyokong yang membawa beg dan yang tiada beg.

Seramai 72,000 penonton dijangka menyaksikan perlawanan itu.


Sumber : BERNAMA