Friday, July 28, 2017
vital-top
updated 4:09 AM UTC, Jul 28, 2017

Perlis Tidak Setuju Harumanis Ditanam Di Luar Perlis

ARAU - Kerajaan negeri Perlis tidak bersetuju dengan cadangan supaya pokok mempelam Harumanis ditanam secara besar-besaran di negeri-negeri lain, kata anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ahmad Bakri Ali.

Beliau berkata cadangan itu ditolak kerana Harumanis merupakan hak eksklusif Perlis dan kebanyakan rakyat negeri ini menjana pendapatan dengan menanam pokok mempelam itu.

Beliau ditemui selepas pelancaran Fiesta Mangga @ Medan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) Ulu Pauh dan Pelepasan Konvoi Kembara Harumanis Perlis ke Putrajaya dan Klang di Medan Gerai GBBS Ulu Pauh, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun.

Ahmad Bakri berkata demikian sebagai mengulas cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Februari lepas supaya
penanaman Harumanis diperluaskan ke negeri lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan banyak inisiatif supaya mempelam Harumanis menjadi satu daripada sumber ekonomi utama dalam kalangan rakyat Perlis.

Sumber : BERNAMA