Wednesday, April 8, 2020

updated 11:58 AM UTC, Apr 8, 2020

NAFAS alami kerugian RM50 juta

  • Published in Nasional

 

PETALING JAYA, 21 Feb - Anggaran kerugian RM50 juta dikesan hasil audit forensik yang dijalankan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terhadap akaun-akaun miliknya.

Kesalahan itu meliputi pelanggaran 7 perkara utama tatacara kewangan dan tadbir urus syarikat.

Antara kesalahan itu meliputi pembelian bangunan ibu pejabat di Kota Damansara, Selangor; ladang kelapa sawit di Sungai Karap, Miri, dan Kilang di Muar Johor.

Harga pembelian didapati melebihi harga pasaran.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Dato PhahrolRazi Mohd Zawawi, dalam satu sidang akhbar memaklumkan audit forensik dijalankan susulan 42 penemuan yang dipersoalkan.

Penemuan tersebut hasil audit khas yang membawa kepada penggantungan perlembagaannya pada 01 Jun 2018.

Menurutnya lagi, salah laku oleh ahli jemaah terdahulu, telah meninggalkan beban hutang yang tinggi kepada NAFAS.

Selain itu kecuaian dalam urusan pembelian baja dan stok jualan NAFAS turut dikesan.

Beliau menambah, penyewaan Wisma Peladang milik NAFAS di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur juga amat meragukan apabila kadar sewa dikenakan lebih rendah daripada nilai pasaran menyebabkan kerugian RM2.19 juta setahun.

Selain itu kajian semula kewangan juga mendapati sebahagian pembayaran zakat perniagaan dibuat kepada penerima tidak layak seperti Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kemaman berjumlah RM500,000 dan RM100,000 kepada Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak.

Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dilakukan dan kes sedang dalam siasatan.

Sebagai langkah susulan, NAFAS buat julung kalinya bakal menempatkan pegawai SPRM di ibu pejabat mereka.