Wednesday, April 8, 2020

updated 11:58 AM UTC, Apr 8, 2020

COVID 19: Zed Zaidi antara empat individu didakwa sebar berita palsu

  • Published in Nasional

SEPANG, 21 Feb - Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi antara empat individu yang didakwa di mahkamah majistret Sepang kerana menyebarkan berita palsu berkaitan penularan COVID 19 menerusi laman sosial, bulan lalu.

Dia berdepan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan, Zed Zaidi didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun Rozaidi Jamil dengan niat menyebabkan kegentaran awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12.51 tengah hari 27 Januari lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Sebutan semula kes, 11 Mac ini.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat, Mohd Khairul Anuar Rosli juga mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu 26 Januari lalu menggunakan aplikasi web 'Oh My Media'.

Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000.

17 Mac ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Manakala dua lagi individu iaitu Juruteknik, Affendi Mohd Said dan Peniaga, Syed Mohd Faiz Syed Nasir pula mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Tarikh jatuh hukum, ditetapkan 17 Mac ini.

Mohd Afendy didakwa menggunakan aplikasi Facebook menerusi akaun Afendy Said yang telah dibaca SKMM pada jam 2.30 petang, 27 Januari lalu manakala Syed Mohd Faiz menggunakan aplikasi twitter dengan akaun faeznasirr yang dikesan oleh SKMM pada jam 3.30 petang, hari yang sama.