Wednesday, April 8, 2020

updated 11:58 AM UTC, Apr 8, 2020

300,000 unit dekoder percuma myFreeview tambahan untuk golongan B40 dan OKU

  • Published in Nasional

KOTA KINABALU, 20 Feb - 300 ribu unit dekoder percuma myFreeview tambahan akan diberi kepada isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara.

Jumlah itu sebagai tambahan daripada 2 juta unit dekoder yang diperuntukkan syarikat MyTV sebelum ini.

Inisiatif kerajaan dibuat menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia MCMC itu melibatkan kos yang ditanggung sepenuhnya kerajaan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, pengagihan dekoder tambahan itu adalah satu lagi usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital.

Juga memastikan golongan sasar tidak ketinggalan dalam mengakses informasi secara mudah dan membolehkan mereka menikmati perkhidmatan TV Digital tanpa langganan bulanan sejajar Konsep Kemakmuran Bersama.

Beliau memaklumkannya selepas penyerahan dekoder myFreeview kepada 20 penerima terdiri daripada 15 orang B40 dan 5 OKU di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, KKMM Kota Kinabalu.

Kira-kira 3 ribu dekoder percuma myFreeview akan diagih kepada isi rumah B40 yang berdaftar dan OKU bermula hari ini sehingga 22 Februari di Kompleks bersepadu KKMM ini.

Selain Sabah, pengagihan dekoder tambahan myFreeview juga dijalankan di Sarawak dan negeri-negeri lain secara berperingkat.