Tuesday, February 25, 2020

updated 1:27 PM UTC, Feb 25, 2020

Ankara akan hantar lebih ramai tentera ke Idlib, balas serangan ke atas tentera kerajaan

  • Published in Berita Dunia

ANKARA, 19 Feb - Turki akan menghantar lebih ramai tentera ke wilayah Idlib, Syria bagi membalas serangan terhadap pasukan kerajaan.

Jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin berkata, pertemuan delegasinya dengan wakil Rusia di Moscow belum mencapai sebarang persetujuan mengenai Idlib.

Beberapa minggu kebelakangan ini pasukan tentera Syria yang disokong oleh Rusia membunuh beberapa tentera Turki dan melancarkan serangan yang memaksa lebih 700 ribu penduduk berpindah.

Delegasi Rusia yang berada di Ankara sejak minggu lalu untuk mengadakan perbincangan mengenai Idlib masih gagal mencapai kata sepakat dan kerjasama.

Sejak Jumaat lalu, konvoi yang membawa komando, kereta kebal dan artileri digerakkan ke 12 pos tentera Turki di Idlib yang dibina oleh Ankara di bawah Perjanjian 2018 dengan Rusia untuk menghalang serangan rejim Syria.

Namun perjanjian itu gagal untuk menghentikan serangan Syria malah Turki mendakwa pasukan rejim telah mengepung tiga buah posnya.

Erdogan memberi amaran kepada Damsyik sehingga akhir bulan ini untuk berundur dari posnya dan mendesak Rusia untuk meyakinkan rejim itu untuk menghentikan serangan.

Delegasi Rusia sudah berada di Ankara untuk mengadakan perbincangan mengenai Idlib sejak Sabtu dengan pertemuan lanjut dijangka pada Isnin.

Kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam usaha mengekang keganasan di wilayah berkenaan.