Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Presint 1, Putrajaya.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebaik keberangkatan tiba pada jam 8.30 pagi, perbarisan mempersembahkan "Hormat Diraja" lagu Negaraku diikuti 21 das tembakan meriam kehormatan disempurnakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan
Kolonel Mohd Asri Che Wil.

Lima helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai Mejar Abdul Khalid Zainal Abidin.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Seterusnya Al-Sultan Abdullah melakukan pemeriksaan perbarisan diikuti pembukaan medan oleh pancaragam.

Kemudiannya Pengiring Panji-Panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong disusuli lagu Negaraku dan berlangsung Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong.

Empat kontinjen istiadat membawa Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja
Malaysia.

Ia melibatkan seramai 22 pegawai dan 550 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Leftenan Kolenal Ahmad Muzaimi Mohd Ali, Pegawai Pemerintah Batalion Kedua Regimen Askar Melayu Diraja.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen atau Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Pada istiadat hari ini, turut berlangsung perbarisan berjalan laju dalam tempoh perlahan dan cepat, perbarisan mara menghadap serta laungan 'Daulat Tuanku'.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku bersekali lintas helikopter ATM.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah kemudian berangkat meninggalkan majlis pada pukul 9.30 pagi.##