Tuesday, June 19, 2018
vital-top
updated 8:05 AM UTC, Jun 19, 2018

Kerani Rugi RM128,300 Penangan Cinta Media Sosial

  • Published in Nasional
Foto Hiasan

KUANTAN - Akibat terpedaya dengan janji manis kenalan media sosial, seorang kerani muda di Lipis terpaksa menanggung kerugian sehingga RM128,300.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata mangsa, 20, mula berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari negara Uncle Sam melalui laman sosial Facebook pada awal April lepas.

"Sebagai tanda pengenalan, suspek ingin menghantar hadiah kepada mangsa berupa baju, kasut, beg tangan, emas putih, minyak wangi, Ipad, Iphone, gelang tangan, jam tangan, barang kemas serta mata wang asing sebanyak RM111,874.14 yang dihantar pada 8 Mei," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya mangsa yang leka dengan janji itu kemudian mendapat panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai ejen kastam pada 11 Mei dengan meminta RM4,800 sebagai cukai pembayaran untuk barangan yang diterima dari luar negara.

Beliau berkata selepas transaksi itu dibuat mangsa membuat lagi bayaran sebagai caj mata wang luar negara dan barang kemas yang dihantar sebanyak RM18,500 dan RM49,000 seperti yang diminta suspek.

Supt Wazir berkata mangsa kemudiannya menerima panggilan lagi daripada suspek pada 14 Mei dengan meminta RM125,000 sebagai caj penghantaran barang berkenaandan mangsa terus membuat bayaran secara sedikit demi sedikit bermula 21 Mei hingga 1 Jun lalu.

Beliau berkata setelah melakukan lebih 10 transaksi melibatkan wang keseluruhan RM128,300, suspek meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah lagi wang ke dalam akaunnya, namun mangsa enggan dan mula mengesaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

((BERNAMA))