Thursday, August 16, 2018
vital-top
updated 8:36 AM UTC, Aug 2, 2018

LPT2 Jangka Pertambahan 45,000 Hingga 50,000 Kenderaan Menjelang Aidilfitri

  • Published in Nasional

KUALA TERENGGANU - Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) dijangka mencatatkan  pertambahan antara 45,000 hingga 50,000 buah kenderaan menggunakan lebuh raya itu menjelang Aidilfitri yang disambut Jumaat ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata kebiasaannya, kenderaan yang menggunakan lebuh raya tersebut pada hari biasa adalah sekitar 15,000 sahaja.

"Pertambahan ini akan menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi terutama di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh.

"Pihak pengurusan telah menyediakan lapan lorong bayaran di plaza tol itu untuk memastikan kesesakan tidak terlalu teruk dan kami berharap pengguna dapat merancang jadual perjalanan pulang ke kampung untuk mengurangkan kesesakan," katanya kepada Bernama. 

Bagi memastikan keselesaan pengguna pula, LPT2 juga meningkatkan jumlah pekerja di beberapa hentian rehat dan rawat serta di plaza tol sepanjang lebuhraya itu sepanjang musim perayaan kali ini.

 

Bermula 12.01 pagi tadi juga, pengguna LPT2 turut menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus seperti yang diumumkan kerajaan persekutuan selama dua hari sempena Aidilfitri yang akan berakhir pada 11:59 malam esok (Khamis).

((BERNAMA))